Subscribe to:
Post Comments (Atom)
...bila kerinduan membara di hati
kuselak dan ku baca suratmu dulu
untuk kedua kalinya
kaukah di situ sendiri
mengenang detik-detik silam ?...
Terimakasih, rupanya dalam keresahan hati ini kau layangkan pada ku selembar harapan, membuat ku tak terucap dek kegembiraan.
Kegusaran hati ku lenyap bersama kehadiran warkah putih mu - seputih hati mu, benarkah ? Namun begitu debaran hati ku tak tertahankan tika menatap warkah mu.
Ah... harapan yang tipis ini merupakan angan-angan ku. Tinggi setinggi langit biru. Kalau pun kau bisa memahami hati ku, kau hanya akan tersenyum. Pada mu barangkali aku ini masih terlalu mentah - masih mencari dan tercari-cari makna sebuah pengertian.
Dalam diam aku merasa pasti, malah aku yakini, dalam warkah putih mu terlukis sebuah harapan yang bersinar. Dan dari kata bicara rakan ku yang samar, ku kenali hati mu, budi mu. Terlalu samar. Kesamaran yang membuat ku lebih banyak membayangkan kelebihan yang tak ketara di diri mu.
Pinta ku, di surat biru ini, kau kenalkanlah diri mu. Catatkanlah dan lukiskanlah diri mu di warkah putih seperti dulu. Masihkah kau ingat lagi, warkah putih mu memberikan aku secebis harapan ? Harapan yang tipis seperti serpihan kaca di jalanan, bisa melukakan dan memedihkan.
"Saudari Norhayati." Ah, betapa sukar menyebut dialog usang ini. Tetapi begitulah pula sukarnya hati ku untuk mengubahnya. Mengubahnya bererti mengubah diri ku, kebiasaan ku.Sesuatu yang tidak mungkin kalau aku mengubahnya kerana diri ku adalah kebiasaan ku.
Saudari... ah, sekali lagi aku terpaksa melupakan kesukaran itu. Mungkin kau turut merasakan kesukaran itu setiap kali menyebut nama ku, saudara...
Betapa terasa janggalnya aku mengungkapkan kisah ini. Bukankah kau ingin mengenali diri ku ? Dan aku memohon maaf kerana lebih banyak membawa cerita yang bukan untuk kita, bukan untuk perkenalan ini. Tetapi biarlah. Berilah aku peluang untuk memulakannya.
Saudari... ah... saudari... ah, pena ku semakin berat untuk mencoretkan suara hati ku, melukiskan siapa aku. Saudara... aku... saudara...
Ku harap kau cukup memahami diri ku dan kesukaran ku ini. Ku harap juga kau telah mengenali diri ku sedikit seperti aku mula mengenali diri mu melalui rakan sekampus ku. Katanya, gadis Yati itu cantik, ayu dan lemah-lembut, sesuai dengan watak gadis Pantai Timur mu.
Ku pohon maaf di akhir surat biru ini supaya segala keterlanjuran dalam kata bicara ku bersih dari segala prasangka, seputih warkah mu yang ku tunggu.
Betapa kegembiraan terpancar di diri ku di pertemuan kedua ini. Terimakasih ku dahulukan kerana kau masih sudi melayangkan warkah putih untuk ku. Dan kau sudi menerima kehadiran ku sebagai sahabat mu.
Saudari... ah, aku tahu, dari kata bicara warkah mu, kau pun benci dengan kesukaran ini. Tetapi sekali lagi ku katakan, aku merasakan terlalu sukar untuk mengubah kebiasaan ku. Namun akan ku usahakan juga kerana saranan mu itu amat ku sanjung tinggi.
Tetapi nama mu terlalu panjang untuk disebut dalam pengucapan ini. Rasanya lebih baik kalau aku memendekkannya. Bukanlah maksud ku untuk memendekkan persahabatan kita.
Nama Nor yang mula ku fikirkan. Terasa janggal sebutan itu walaupun kau telah memulai dengan menyebut awalan nama ku. Malah rakan-rakan lelaki ku pun ada yang memiliki nama itu. Nama itu telah sering digunakan di persekitaran hidup ku. Aku tak mahu menggunakan nama itu.
Sebenarnya bukanlah merupakan satu lagi kesukaran bagi ku untuk menyebut nama mu. Memang telah tertulis nama mu di fikiran ku lama dulu. Yati. Yati adalah nama yang ku rasakan sesuai dalam pengucapan ini. Mungkinkah kau menyetujuinya ? Ku harap begitulah.
Maaf, kerana kesibukan membuatkan ku terpaksa memendekkan waktu bicara ku. Kau tidak berkecil hati, bukan ? Ku harap tidak. Dan kau tidak bosan, bukan ? Tidak ?...
Ah... warkah biru. Mengapa ?
Yati, kau membuat ku tertanya-tanya tentang diri mu. Mengapakah warkah ketiga mu berubah warna ? Mungkinkah warna hati mu turut berubah ? Kegusaran hati ku yang tumbuh tika menatap warkah biru mu, ku harap kau bisa menghilangkannya.
Aku tidak mahu mencemari persahabatan kita. Tetapi berilah aku kesempatan membuktikan kejujuran ku. Apakah selama ini kau tidak nampak kejujuran ku di setiap helaian surat biru yang ku kirim ?
Yati, berilah aku peluang. Berilah aku kesempatan. Hati ku takkan berubah selagi kau tidak berubah. Tetapi kini siapakah yang telah berubah ?
Lebih baik aku mematikan bicara ini di sini daripada membiarkan bicara ku mematikan persahabatan kita.
Sebenarnya Yati, aku lebih menyenangi kehadiran warkah putih mu, bukan warkah biru itu.
Satu yang ku harap dari kehadiran warkah mu, berilah aku kepastian. Kepastian tentang kehadiran warkah biru mu. Dan ku harap kau bisa memaafkan jika ada perkataan ku yang tersasar dari kebenaran. Hati ku selalu bertanya, mungkinkah kau akan memaafkannya. Sedangkan aku masih tak nampak kesalahan ku.
Rupanya kekeliruan itu berpunca dari ku. Aku memohon maaf. Dan aku turut memaafkan kesalahan mu, jika ada. Rasanya kau tak pernah melakukan kesilapan, walaupun sekecil zarah, terhadap ku. Jika kau merasakan ada melakukan kesalahan terhadap ku, telah aku maafkan sejak dulu lagi, sejak sebelum kau memohon kemaafan itu dari ku.
Yati, sebenarnya tempoh semusim bukanlah satu jangka waktu yang pendek. Dan dalam tempoh semusim itu banyak yang telah berubah. Cuma hati ku yang masih tidak berubah, sepi dan kosong, mendakap cebisan harapan yang tipis.
Dan dalam tempoh semusim persahabatan kita ini, kita tidak pernah mengenali diri masing-masing secara lebih dekat. Maksud ku kita tidak pernah bertemu seperti Utara dan Selatan Semenanjung yang sukar dipertemukan, yang memisahkan kita. Tetapi kita takkan bertemu selagi hari yang dinantikan itu belum ditentukan-Nya. Aku pun belum bercadang untuk menemui mu di Pantai Timur mu itu.
Hanya satu pinta ku, dari keihklasan persahabatan ini, sudikah kau melayangkan sekeping potret mu buat tatapan ku. Aku tak begitu mengharapkannya dan aku tidak memaksa mu. Cuma jika kau merasakan itu perlu, layangkanlah.
Aku kan setia menanti.
Yati, di sekitar ku, di saat aku mencoretkan warkah ini, di penuhi dengan suasana kegembiraan dan keriaan. Pesta Kovokesyen berlangsung sebagaimana yang dirancangkan. Tetapi bukanlah untuk ku. Giliran ku masih jauh lagi. Aku pun tidak membuang-buang waktu untuk bersama mengecapi kegembiraan itu. Cuma yang aku kesali, kau tidak di sisi ku. Jika kau ada bersama ku di saat ini, tentunya kegembiraan itu lebih terasa lagi.
Akhir sekali aku memohon maaf jika ada perkataan ku yang menyinggung perasaan mu. Dan permintaan ku tadi, jika kau rasakan keterlaluan, lupakanlah seolah-olah aku tidak pernah memintanya.
Betapa aku berasa malu pada diri ku sendiri. Mengapakah aku tidak memikirkan hal itu dulu, sebelum aku layangkan surat biru ku ? Sehingga di kehadiran warkah putih mu, rasa rendah diri ku membara semula.
Yati, aku memuji sikap mu itu walaupun sedikit keraguan terpancar di hati ku. Rupanya kau masih mempertahankan rasa ketimuran mu itu. Tetapi mengapakah kau malu untuk melayangkan potret mu pada ku ?
Aku tidak akan kecewa kiranya kau tidak menunaikan permintaan ku dalam warkah yang lalu. Tetapi sekarang terasa berlainan benar. Jauh dari sangkaan ku, kau pula yang mahukan aku melayangkan potret ku terlebih dahulu. Aneh. Dan keanehan ini hanya kau yang dapat menjawabnya.
Akan ku usahakan untuk memenuhi permintaan mu itu. Nah, berserta surat biru ini ku kembarkan potret ku. Ku harap kau juga akan berbuat begini nanti. Kau tentunya tidak mahu mengecewakan aku bukan ?
Yati, arah persahabatan kita telah banyak berubah. Perubahan yang bukan meretakkan, tetapi tambah mengeratkan. Kau telah mula menyerlahkan kehidupan mu yang sebenar kepada ku. Terimakasih yang mampu ku ucapkan. Aku percaya akan keikhlasan mu dalam persahabatan ini. Tetapi ketahuilah, masih ada jurang yang memisahkan kita.
Semoga ketemu di lain lembaran.
Yati, ku pohon kemaafan dari mu kerana telah bersikap tidak jujur dalam persahabatan ini. Aku telah tidak berterus-terang kepada mu. Sebenarnya aku mempunyai sahabat dari kaum sejenis mu yang bukan hanya sekadar sahabat di kampus ini. Kau faham maksud ku bukan ? Dan setelah aku kecewa, barulah aku tahu betapa kejujuran itu penting dalam persahabatan.
Aku telah bersikap tidak jujur padanya. Aku pernah menyatakan padanya yang aku tidak mempunyai teman lain selain darinya. Tetapi aku tersilap jangka. Dia tidaklah seperti yang ku sangka. Di sebalik sifat pemalunya itu, tersembunyi sifat ingin tahu yang luar biasa. Dari rakan-rakan sekampus ku, dia dapat menyungkil rahsia peribadi ku. Akhirnya aku terpaksa berterus-terang padanya yang aku telah mempunyai ikatan dengan seorang gadis di desa ku.
Kini ikatan persahabatan itu telah pun berakhir.
Tapi ku harap kau tidak akan memutuskan persahabatan kita, Yati, sebaik sahaja kau tahu aku ini milik seseorang. Aku memberitahu mu hal peribadi ku ini sekadar untuk membuktikan kejujuran ku pada mu. Erti kejujuran yang baru ku fahami. Ku harap kau akan dapat memahami perasaan ku di kala ini. Kecewa dan rasa bersalah yang bercampur-aduk.
Ku ucapkan terimakasih pada mu kerana sudi mengirimkan potret mu kepada ku. Kehadirannya dapatlah mengurangkan sedikit kekecewaan di hati ku. Usahlah kau bimbang. Aku pasti akan menyimpan potret mu sebaiknya. Dan ia akan menjadi suatu kenangan yang paling istimewa dalam persahabatan kita ini - selain dari warkah-warkah putih mu yang sering ku baca buat kedua kalinya.
Yati, aku ingin bertanyakan pandangan mu terhadap ku selama persahabatan kita terjalin. Bukan kerana sesuatu sebab. Tetapi kerana dari warkah-warkah yang kau kirim, aku merasakan sesuatu yang luar biasa. Aneh. Maksud ku suatu bayangan yang menyalakan sedikit harapan. Apakah benar itu, Yati. Ku harap kau sudi menerangkan.
Aku sesekali ragu-ragu, malah bimbang. Di manakah akan berakhirnya persahabatan kita setelah segala kejujuran ku curahkan pada mu.
Sebenarnya aku tidak tahu samada kau dapat memahami tiap patah perkataan ku. Namun aku berharap kau memahaminya dan tidak terlalu memikirkannya.
Mulai dari saat surat biru ini tertulis, aku akan memulakan suasana kesibukan yang luarbiasa yang memungkinkan aku tidak mempunyai ruang waktu untuk menulis kepada mu. Aku akan menghadapi peperiksaan akhir semester pertama ini. Tapi jangan pula kau hentikan coretan pena biru dan kiriman warkah putih mu nanti. Janganlah membuat ku tertunggu-tunggu.
Akhir kata, salam mesra dari ku dan berbahagia selalu hendaknya.
Memang telah ku duga kau tidak akan memahami maksud ku dalam surat biru ku yang lalu. Ku harap kau tidak kerap memikirkannya. Lupakanlah ia sebagaimana aku cuba melupakan bayangan dan harapan dari setiap kehadiran warkah putih mu.
Betapa aku juga tidak mengerti maksud ketidakjujuran mu itu. Apakah selama ini kau juga berlaku tidak jujur terhadap ku, Yati ? Dan kau mula menyedari kesilapan mu setelah aku lebih dulu berterus-terang pada mu disebabkan kekecewaan ku.
Yati, mengapa kau tidak berterus-terang saja pada ku ? Apakah ketidakjujuran yang telah kau lakukan pada ku ? Hanya kemaafan yang kau pohon dari ku. Dan aku dalam ragu memaafkannya. Tidakkah aneh persahabatan ini, Yati ?
Adakah kau juga seperti aku ? Dari gambaran warkah mu seolah-olah kau juga sudah dimiliki seseorang. Cuma sikapmu yang tidak memberi penjelasan itu menjadikan apa yang ku fikirkan tentang diri mu samar-samar belaka kebenarannya.
Tak ku lupa mengucapkan terimakasih pada mu kerana menghadiahkan sedikit keyakinan menjelang saat-saat akhir peperiksaan ku. Rupanya kau pun turut mendoakan kejayaan ku. Terimakasih sekali lagi dan terimakasih yang kedua ini khas untuk mu, Yati.
Mengapa kau masih teringat pada potret mu yang dulu itu ? Adakah kau mmenyesal mengirimkannya kepada ku ? Atau kau ingin aku memulangkannya kembali ? Ku harap tidak. Untuk pengetahuan mu, potret itu telah ku simpan di dalam album gambar ku. Malah telah ku kesampingkan di sisi potret ku.
Kau tidak perlu menyatakan kekhuatiran mu itu. Ia pasti ku jaga sebaik-baiknya.
Yati, sebenarnya aku masih lagi memeras otak untuk menghadapi tiga kertas terakhir peperiksaan semester pertama ini. Tetapi untuk mengurangkan sedikit kebuntuan yang mencengkam, aku meluangkan waktu menatap tiga kali warkah putih mu dan mencoretkan pula surat biru ini yang ku akhiri dengan mendoakan kesejahteraan hidup mu sekeluarga.
Percutian ku bermula dengan kenangan terhadap peperiksaan yang membalut setiap inci ruang ingatan ku. Berjayakah aku ? Tepatkah jawaban yang ku tulis ? Inilah antara persoalan yang selalu bermain di fikiran ku. Dan kembalinya aku ke desa kali ini sekadar untuk cuba mengembalikan semula ketenangan diri ku. Di samping itu aku meluangkan sedikit masa mencoretkan surat biru ini khas buat mu.
Seperti yang ku nyatakan tadi, cuti ku sekadar untuk mengembalikan ketenangan ku. Memang benar. Aku sekadar membantu serba-sedikit tugas orang tua ku di ladang. Malah kebanyakan waktu ku dihabiskan di rumah sambil bersenang-senang hati, menonton TV, membaca buku cerita dan mencuba bakat sastera ku.
Bolehlah dikatakan aku melupakan terus pelajaran ku. Untuk sementara saja. Begitulah selalunya ku lakukan di setiap percutian sepanjang dua tahun aku bergelar mahasiswa.
Kau tahu, Yati, betapa sepinya desa ku kini. Aidilfitri telah lama berlalu. Rakan-rakan sekolah ku dulu kebanyakannya merantau jauh. Semuanya telah bekerja. Mereka hanya pulang pabila lebaran tiba. Itu pun setahun cuma dua kali. Hanya aku yang masih mengepit fail, buku-buku dan nota-nota buat beberapa tahun lagi. Terasa kerinduan mencengkam hati ku kerana jarang dapt menemui mereka.
Tetapi apakan daya ku. Masing-masing mempunyai suratan tersendiri. Dan aku menjadi sebagaimana diri ku kini.
Sepanjang percutian ini aku tidak bercadang meninggalkan desa ku. Aku rasa lebih selesa di sini walaupun pembangunan telah banyak mengubahnya. Walaupun ketenangan dan kedamaian desa hanya tinggal di impian sahaja.
Hati ku terasa lapang kini, Yati, setelah kau jelaskan maksud ketidakjujuran mu itu. Aku merasakan dapat memahami hati mu. Dan kalau kau tidak mahu aku bertanyakan tentang itu, aku tidak akan menanyai mu lagi. Maafkanlah aku jika pertanyaan ku dulu menyinggung perasaan mu.
Nampaknya kita menerima nasib yang sama. Cuma yang aku kesalkan kau tidak memberitahu ku dari dulu lagi. Kalau ku tahu akan begini jadinya, pasti aku tidak cuba menjalin persahabatan dengan mu. Tapi aku tidak berkuasa menentukan semua itu. Semuanya adalah suratan takdir belaka. Kadang-kadang kejujuran tidak dapat menjamin ikatan yang berkekalan. Kau sepatutnya tidak memberitahunya tentang persahabatan kita.
Manusia memang mempunyai tanggapan berbeza terhadap kejujuran itu. Tetapi ku harap tanggapan kita adalah serupa.
Yati, harapan ku agar kau tidak begitu kecewa dengan apa yang telah berlaku itu. Hanya satu pinta ku, tenangkanlah hati mu. Lupakanlah ia seolah-olah ia tidak pernah menimpa diri mu. Aku akan tetap menjadi sahabat mu yang tak lupa mendoakan kebahagiaan mu.
Salam mesra dari ku untuk mu.
Buat tatapan mu, Yati.
Tentunya kau merasakan suatu kelainan tika menerima kehadiran surat biru ku kali ini. Tetapi ku harap kau bacalah surat biru ini dahulu sebelum kau tatapi kad itu. Nanti kau akan faham mengapa aku menyertakannya di sini.
Dulu aku ada menyatakan pada mu, sesuatu yang berlaku itu telah disuratkan akan berlaku. Dan ia pasti akan berlaku. Kita cuma mampu berusaha, tetapi Tuhan yang menentukannya.
Begitulah yang ku alami kini, Yati.
Janji yang terbina dua musim yang lalu kini telah hancur musnah. Memanglah penantian itu suatu penyiksaan. Dan kerana dia, gadis desa yang tak sanggup menanti dua musim lagi, ikatan kami yang terjalin terpaksa dileraikan. Tetapi itu bukanlah suatu alasan yang kuat untuk dijadikan sebab putusnya ikatan kami.
Masyarakat keliling ku mempunyai pendirian adat yang kukuh di jiwa masing-masing. Cukuplah sekadar kukatakan pada mu, sebab yang utama ialah kerana adat dan hubungan kekeluargaan. Kau pun tahu sedikit-sebanyak tentang Adat Pepatih itu, bukan ? Jika ya jawaban mu, usahlah kau tanyakan lagi tentang apa yang telah berlaku pada diri ku. Kita hanya bersahabat. Dan sebagai sahabat banyak batas-batas yang memisahkan kita.
Dan sekarang kau tentu faham mengapa aku menyertakan kad jemputan perkahwinan itu. Ya, dialah gadis desa yang akan menjejak pelamin di akhir percutian ku tak lama lagi. Ku sertakan kad ini bersama kerana itulah permintaannya yang terakhir apabila aku menyebut tentang diri mu.
Aku tahu kau mungkin tidak dapat memenuhi permintaanya. Tetapi sekurang-kurangnya kau akan mengerti bagaimana perasaan ku di kala ini. Memang sukar bagi ku menyatakan apakah sebenarnya yang ku alami dan betapa sepinya perasaan ku kini.
Namun aku masih berharap, malah benar-benar mengharapkan, suatu masa nanti aku akan menemui penggantinya. Tetapi bila ? Pertanyaan itu semakin kerap mengganggu fikiran ku yang amat memerlukan ketenangan di kala ini.
Pada mu, Yati, satu pinta ku. Doakanlah kejayaan ku kerana tak lama lagi aku akan menerima keputusan peperiksaan ku. Dan janganlah kau tanyakan lagi tentang ketenangan hati ku. Ia telah berlalu jauh. Jauh yang bererti ia takkan kembali selagi aku belum melihat keputusan peperiksaan ku itu.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment